Lalalala..Hari-hari kerja! Bosan dengan kerja...
Ramai di antara kita merasakan terpaksa untuk bekerja...pergi bekerja sebab inginkan imbuhan je..atas faktor itu pekerjaan yang dilakukan
tidak memberi nikmat kepada kita...
kita seharusnya bersyukur dengan apa yang kita buat dan seharusnya kita gembira.....
.....................................................................................................................................................................
Memang mengena lagu yang dinyanyikan oleh kumpulan Meet Uncle Hussein
ini. Kadang-kala kita berasa penat dan bosan dengan pekerjaan yang
sedang kita lakukan.
Mahu saja rasanya letak jawatan dan duduk di rumah 'goyang kaki'.
Namun, apabila terbayangkan wang ringgit yang amat diperlukan dalam
kehidupan, pantas saja digerakkan kaki yang terasa malas dan berat,
melangkah ke tempat kerja. Mulut pula mula mengomel, "kalau tak kerja,
macam mana la nak hidup..". Inikah makna sebenar kerja pada kita?
Sejak dari kecil lagi, kita diajar membina impian kerjaya oleh ibu
dan ayah. Malah, di sekolah juga para guru selalu meniupkan semangat
kepada kita agar menjadi seorang yang mempunyai cita-cita. Pertanyaan
yang wajib kita dengar saat semakin membesar, "dah besar nanti anak mama
nak jadi apa?".
Lalu, dari situ kita mula mencipta imaginasi tentang hebatnya untuk
menjadi seperti apa apabila dewasa nanti. Tanpa diketahui maksud
sebenarnya, lantang saja kita menjawab, "nak jadi cikgu!". Kini, tak
disangka-sangka cita-cita itu tidak kesampaian walau kita telah melepasi
puncak menara gading. Apakan daya, ini rezeki yang Allah tentukan.
Niat Kerana Allah Pencetus Semangat
Tidak berjaya menjadi seperti apa yang kita impikan sememangnya amat
mengecewakan. Namun, mestilah diingat bahawa di mana jua kita
diletakkan, di situlah rezeki kita dan tempat kita berusaha. Justeru,
walau pekerjaan itu bukanlah bertepatan dengan minat kita sendiri, kita
seharusnya mempunyai azam untuk bekerja dengan ikhlas, jujur dan
memegang amanah tersebut dengan niat kerana Allah. Bukan sekadar bekerja
kerana gaji atau lebih tepat lagi seperti yang selalu disebut, "nak
hidup punya pasal..".
Setiap apa yang kita lakukan semuanya bermula dengan niat. Niat
itulah yang menjadi titik mula bagaimana kita akan memikul tugas yang
digalas. Niat bekerja kerana Allah akan memandu setiap perbuatan kita
dalam menghasilkan mutu kerja yang cemerlang dan berkualiti. Seperti
mana kita menyebut berulang kali Surah al-An'am ayat 162 di dalam solat,
"Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku untuk Allah, Tuhan sekalian Alam".
Kalimah yang kita ucapkan pada Allah dengan bersungguh-sungguh itu
perlulah kita ingati ketika menjalankan pekerjaan duniawi. Kerja harus
dianggap sebagai ibadah yang dimulakan dengan niat yang baik berserta
istiqamah. Sabda Rasul SAW,
"Bahawa Allah mencintai
seseorang yang apabila ia mengerjakan sesuatu kerja, ia laksanakan
dengan cemerlang." (Hadis riwayat Abu Ya'la)
Dari kita merungut kemalasan dan mengenang nasib di pagi hari saat
bangun tidur, adalah lebih baik jika kita berniat untuk bangun bekerja
kerana Allah. Sudah pasti badan terasa lebih kuat, minda terasa lapang
dan hati terisi dengan semangat yang positif. Simptom seperti makan
'gaji buta' dan 'curi tulang' pasti dapat dielakkan. Ada yang berkata,
masalah di tempat kerja yang membuatkan semangat untuk menjalankan tugas
terasa lemah dan minat yang sememangnya ada seakan hilang.
Dugaan Semasa Bekerja
Kadang-kala timbul masalah tidak 'sekepala' dengan rakan-rakan
sekerja. Majikan pula selalu merungut ada saja perkara yang tidak kena.
Inilah ujian dan dugaan di alam pekerjaan. Tidak mungkin kita boleh
'ngam' dengan semua orang disekeliling kita.
Apa yang membuatkan kita mampu bertahan dan terus bekerja dengan
gembira adalah dengan menjadi seorang yang bijak mengawal keadaan.
Berfikiran positif dan selalu memperbaiki diri adalah faktor utama
menangani situasi ini. Jangan dek sedikit saja onak duri yang mendatang,
mulalah merangka surat perletakkan jawatan!
Perkara yang paling menguji diri kita sebagai seorang pekerja juga
adalah elemen kejujuran. Sukar untuk menjadi jujur walau tidak
'mengulat' selama satu minit sahaja.
Menyalahgunakan kemudahan-kemudahan yang disediakan oleh syarikat
untuk kepentingan sendiri. Kita anggapkan tiada siapa yang tahu dan
melihat, jadi tidak apalah.
Kebetulan pula bos tidak datang, kita pun bersuka-suka dan tidak
serius dalam bekerja. Ada juga yang buat kerja alai-balai kerana tidak
suka pada majikan.
Kerja Sebagai Ibadah
Jadikanlah Allah sebagai 'majikan' tertinggi, maka kita akan jujur dalam menjalankan tugas.
Apabila niat bekerja kerana Allah, disulami dengan keikhlasan,
kesungguhan dan istiqamah, mudah-mudahan setiap pergerakan kita bermula
dari kita keluar rumah, semasa di tempat kerja sehinggalah perjalanan
pulang ke rumah dikira sebagai ibadah di sisi Allah.
Ganjaran di dunia dan kemuliaan di akhirat itulah yang harus kita genggam sebagai matlamat dalam kerjaya. Firman Allah SWT,
"Maka apabila telah
ditunaikan solat, bertebaranlah kamu di muka bumi dan carilah kurnia
(rezeki) Allah dan ingatlah akan Allah sebanyak-banyaknya, mudah-mudahan
kamu berjaya." (al-Jumu'ah: 10)
Apabila niat bekerja kerana Allah, disulami dengan keikhlasan,
kesungguhan dan istiqamah, mudah-mudahan setiap pergerakan kita bermula
dari kita keluar rumah, semasa di tempat kerja sehinggalah perjalanan
pulang ke rumah dikira sebagai ibadah di sisi Allah.
No comments:
Post a Comment