Mar 23, 2013

IMAN DAN TAQWA PENCETUS MINDA



Di dalam perjuangan menegakkan kalimah Allah SWT di muka bumi ini, para pejuang, pendakwah, penceramah dan penggerak Harakah perjuangan memerlukan senjata yang hebat sebagai bekalan atau perisai di dalam berhadapan dengan pihak musuh yang sentiasa menunggu dan berada dimana-mana.Musuh-musuh ini bukan sahaja dari kalangan Iblis dan Syaitan tetapi juga dari nafsu dan kalangan manusia.Apakah senjata tersebut? Dengan senjata tersebut umat Islam mampu mengalahkan orang-orang kafir atau munafik, Komunis, Amerika Syarikat, Yahudi, Russia, Israil serta musuh batin iaitu nafsu dan Syaitan. Senjata ini hanya dimiliki oleh umat Islam dan orang-orang kafir tidak memilikinya iaitu senjata iman dan taqwa kepada Allah SWT.

Selain senjata iman dan taqwa, dengan kekuatan apapun sama ada kekuatan di dalam politik, ekonomi, ilmu pengetahuan, ketenteran, sains dan senjata yang canggih, umat Islam tidak akan mampu untuk mempertahankan diri melawan musuh-musuh yang bertebaran dimuka bumi ini yang jauh lebih gagah daripada kita. Oleh itu untuk menang di dalam perjuangan ini, umat Islam seluruhnya bukan hanya yang bergerak secara langsung di dalam perjuangan wajib untuk bertaqwa setelah beriman kepada agama Allah SWT. Andainya kita tidak bertaqwa kita berjuang seribu tahun pun Allah SWT tidak akan memberikan kemenangan dan bantuan kerana kita berjuang tidak menepati syarat yang ditetapkan oleh Allah SWT seperti mana apa yang pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat 1400 dahulu.


Kekuatan iman dan taqwa
Kekuatan dan kehebatan iman dan taqwa sebagai satu senjata terhebat telah dibuktikan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat.Rasulullah SAW dan para sahabat hanya mengambil masa selama 23 tahun berjuang mereka berjaya menyebarkan Islam diseluruh jazirah tanah Arab.Kalau dilihat dari awal kalau hanya mengharapkan senjata dalam menegakkan Islam boleh dikatakan kekuatan Islam pada awalnya tidak mampu untuk melawan kekuatan Kaum Musyrikin Mekkah yang lebih ramai dan mempunyai kelengkapan senjata yang lebih baik dan canggih.Dalam perang Badar misalnya tentera Islam hanya berjumlah 313 orang dan bukan semuanya mempunyai senjata. Ada yang menggunakkan pelapah tamar untuk mempertahankan diri.Sedangkan tentera musuh berjumlah seribu orang dengan kelengkapan senjata. Tetapi dengan doa Rasulullah SAW kepada Allah SWT dan ketaqwaan para sahabat kemenangan berpihak kepada Islam.
Kemudian perjuangan tersebut disambung oleh para sahabat, Kerajaan Umayyah, Abbasiyah dan pada zaman kerajaan Turki Utmaniyyah 2/3 dunia berada di dalam genggaman Islam.Islam tersebar diseluruh dunia, di Eropah, China, Asia Tenggara.Semuanya kerana asbab taqwa kepada Allah SWT.Akan tetapi apabila umat Islam terutama para pemerintah jauh daripada sifat taqwa kita melihat bagaiman pada tahun 1924, Khalifah Islam yang berpusat di Turki telah jatuh ditangan musuh yang didalangi oleh Yahudi dan Nasrani.Dengan kejatuhan tersebut bermulalah zaman gelap negara dan umat Islam.
Kejatuhan tersebut telah meletakkan umat Islam ditempat yang begitu hina sekali, negara umat Islam dibahagi-bahagi oleh kuasa barat.Sehingga kemuncak kepada kekalahan tersebut bumi Palestin berada ditangan Yahudi dan mereka berjaya membentuk sebuah negara Israil yang ada sekarang ini.
Apa itu taqwa?
Apakah itu taqwa?Taqwa ialah perasaan hati yang sangat takut kepada Allah SWT sekiranya kita melakukan dosa dan kesalahan.Maka mereka yang telah melakukan dosa lantas bertaubat kepada Allah SWT, bersungguh-sungguh dan berazam untuk tidak melakukan lagi perbuatan tersebut.Sifat taqwa tersebut adakah ada dalam diri setiap umat Islam dan para pejuang Islam. Sekiranya ada, Allah SWT pasti telah lama memberikan kemenangan terhadap umat Islam, akan tetapi oleh kerana sifat tersebut tidak pernah diambil berat oleh setiap diri umat Islam kita melihat bagaimana pada hari ini umat Islam terus terhina dan dihina oleh orang-orang kafir.
Untuk melihat kehinaan yang berlaku terhadap umat Islam, kita tidak perlu melihat ke negara lain akan tetapi lihatlah keadaan Islam dan umat di negara kita Malaysia. Saban waktu Islam dihina yang menghina bukan setakat orang bukan Islam akan tetapi mereka yang mengaku beragama Islam turut menghina, umat Islam dimurtadkan, gejala sosial menyerang remaja Islam, kes rogol, buang anak dan sebagainya. Semua ini berlaku kerana hilangnya rasa taqwa (takut) di dalam diri terhadap Allah SWT.
“Jika penduduk suatu kampung itu bertaqwa, Allah akan bukakan untuk mereka barakah dari langit dan bumi”. [Al-A'araf: 96]
“Allah pembela orang-orang   yang bertaqwa”. [Jasiyah: 19]
Daripada ayat tersebut, Allah SWT pasti akan memberikan bantuan dan pembelaan terhadap umat Islam dengan syarat mestilah bertaqwa kepadanya. Akan tetapi apa yang kita lihat pada hari ini ialah sebaliknya. Semakin umat Islam berjuang semakin banyak kekalahan yang dihadapi. Kita melihat bagaimana bumi Palestin masih dikuasai oleh Yahudi walaupun umat Islam telah lama berjuang, berdemo, berseminar akan tetapi bangsa Yahudi yang sedikit bilangannya terus gagah membunuh umat Islam diseluruh dunia yang berjumlah hampir satu bilion.


Sebenarnya kegagalan dan kekalahan yang dihadapi oleh umat Islam sebenarnya satu isyarat jelas daripada Allah SWT bahawa kita tidak akan dibantu, Allah SWT biarkan kita, Allah SWT hinakan kita kerana umat Islam tidak mahu bertaqwa, banyak melakukan dosa, tidak mahu bertaubat dan tidak mahu belajar daripada kesilapan yang pernah kita lakukan. Dosa-dosa inilah yang menjadikan kita tewas ditangan musuh. Sedangkan orang yang beriman dan bertaqwa, ujian yang datang merupakan baja yang menyuburkan perjuangan mereka.Kenapa Allah SWT membiarkan umat Islam, tidak memberikan bantuan dan kemengan? Jawapan kepada persoalan ini wajib dijawab oleh seluruh umat Islam sebagai satu proses memperbaiki diri agar selepas ini Allah SWT membantu kita.
Maknanya disini ialah, kekalahan dan kegagalan umat Islam pada hari ini adalah kerana dosa-dosa yang kita lakukan. Maksudnya kesalahan itu terletak di dalam diri umat Islam dan bukannya kepada orang lain. Selagi kesilapan tersebut tidak dibaiki, umat Islam tidak bertaubat, lakukan apa juga kita tidak akan menang walaupun kita berdemo setiap hari, berseminar setiap hari dan apa juga yang kita lakukan tanpa redha Allah SWT semuanya adalah sia-sia.
Salah Faham terhadap maksud Taqwa
Terkadang umat Islam salah di dalam memahami erti taqwa kepada Allah SWT.Ramai yang berpendapat bahawa mereka yang mahu bertaqwa mesti otaknya beku, hanya duduk di dalam Masjid, hanya tahu berzikir, tidak mahu berkerja, anti pembangunan, anti kemajuan, berpakaian lesu dan busuk sedangkan pengertian yang sebenar bukan seperti itu. Generasi taqwa ialah seperti para sahabat dan salafussoleh yang digambarkan sebagai:
"Menjadi pendita (abid) di malam hari, menjadi singa (pejuang) di siang hari".
Pengertian disini ialah mereka yang berjuang dijalan Allah SWT tidaklah jumud, tidak anti pembangunan dan sebagainya.Mereka yang bertaqwa mestilah lebih pandai daripada mereka yang tidak bertaqwa.Mereka yang bertaqwa lebih pakar di dalam persoalan akhirat dan dunia.Seperti mana hadis Rasulullah SAW yang maksudnya lebih kurang:
"Berkerjalah kamu seperti kamu akan hidup seribu tahun lagi dan beribadatlah kamu seakan-akan esok hari kamu akan meninggal dunia".
Setiap pejuang Islam harus mengingti bahawa dunia ini adalah sementara dan jangan terlalai kerananya. Diantara sebab hilangnya sifat taqwa dalam diri umat Islam kerana kita tewas dengan godaan dunia yang penuh tipu daya tersebut. Allah SWT telah memberikan peringatan tentang hal ini     di dalam al-Quran:     

"Kehidupan dunia tiada lain hanya kesenangan yang menipu daya."[Ali-Imran: 185]


Berjuang biar ikhlas
Akan tetapi terkadang mereka yang berjuang terus terpesona dengan habuan dunia yang sedikit.Setelah menang dalam pilihanraya, kita mula berebut kuasa, masing-masing inginkan jawatan, pangkat, gaji yang besar sehingga kita sanggup memfitnah, mengaibkan sahabat-sahabat seperjuangan dulu yang cukup akrab hanya kerana kepentingan diri.Nampak daripada sini kita tidak ikhlas di dalam berjuang kerana kita mengharapkan ganjaran dunia dan bukan redha Allah SWT. Memang tidak salah untuk memegang jawatan akan tetapi biarlah atas dasar iman dan taqwa kepada Allah SWT. Mengajar pangkat dan kuasa dengan cara yang kotor bukan ajaran Islam tetapi yang lebih teruk sikap demikian akan mengundang dan menyuburkan sifat kejahatan dalam diri setiap manusia walaupun dia seorang pejuang.   
     
"Wahai orang beriman, hendaklah kamu takutlan Allah dengan sebenar-benar takut dan janganlah kamu mati  melainkan dalam keadaan Islam".[Ali-Imran:102]
Demikianlah syarat taqwa itu begitu penting dalam menegakkan hukum Allah SWT.Sebab itulah sebelum berperang Rasullah SAW sering memberikan peringatan supaya tentera Islam yakin kepada Allah SWT dan jangan melakukan maksiat.Oleh itu, andainya kita mahu berjuang di jalan Allah SWT kita mestilah wajib menerima syarat tersebut. Akan tetapi sekiranya kita yang mengaku beriman dan berjuang di jalan Allah SWT akan tetapi sifat kita sama seperti orang yang melakukan maksiat, bukan setakat kita tidak akan dibantu oleh Allah SWT yang lebih teruk kita akan lebih hina daripada pihak musuh yang telah hina.
Semoga dengan tulisan ini, saya sendiri dan umat Islam dapat merenung semula apakah sumbangan kita kepada Islam selama ini.Selamat berjuang di jalan Allah SWT.

No comments:

Post a Comment